FRIM-GPB Kerjasama Dalam Pembekalan Bahan Mentah

13 Mac 2018 (Selasa) – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Golden Pharos Berhad (GPB) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) untuk melaksanakan kerjasama pembangunan dan penyelidikan serta memastikan pembekalan bahan mentah khususnya bagi Program Perkhidmatan Pensijilan Produk FRIM (FRIM PCS).

Majlis yang diadakan di Wisma Darul Imam, Kuala Terengganu pada 7 Mac lalu tersebut disaksikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

 

Ketua Pengarah (KP), Dato’ Dr Abd Latif Mohmod mewakili FRIM dalam menandatangani MOU manakala GPB pula diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Ahmad Nadzarudin Abdul Razak. Mohd Zamshari Abdul Rahman, Pengarah Urusan FRIM PCS yang juga Pengarah Kewangan FRIM serta Zulkifli Omar, Pengurus Kanan Perkhidmatan Korporat GPB turut menandatangani MOU tersebut sebagai saksi.

Kerjasama tersebut merupakan satu usaha penting selaras dengan matlamat kerajaan dalam memacu agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera (PEB) serta meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara.

Para hadirin pada majlis tersebut.

Kerjasama strategik ini diadakan bagi menangani masalah kekurangan bekalan bahan mentah yang sering dihadapi oleh pengusaha perabot tempatan. Ia akan memastikan bekalan bahan mentah yang mencukupi dan berterusan, termasuk kayu bergergaji serta mana-mana bahan mentah yang bersesuaian bagi pengusaha perabot Bumiputera yang terlibat dengan Program FRIM PCS.

Abd Latif berkata: “Sejak 1970-an, FRIM membantu industri perhutanan dalam memantau kualiti produk-produk berasaskan kayu melalui perkhidmatan ujian. Sehingga hari ini, 14 makmal ujian di FRIM telah berjaya mendapat akreditasi MS ISO/IEC 17025 dari Jabatan Standard Malaysia (STANDARDS MALAYSIA).

“Pada 2013, FRIM PCS ditubuhkan untuk membantu industri perabot tempatan bersaing secara sihat bagi menghasilkan produk berkualiti secara konsisten serta mematuhi keperluan standard dan memenuhi kehendak pelanggan.”

Gambar berkumpulan selepas majlis, dari kiri: Mohd Zamshari, Mohd Amim, Rosli, Abd Latif, Mohd Zubir, Ahmad Razif, Muhammad Pehemi, Ahmad Nadzarudin, Ahmad Fadzil dan Zulkifli.

“Keperluan ini sangat penting bagi memastikan pengusaha berjaya menguasai pasaran tempatan dan menembusi halangan perdagangan antarabangsa. Pada 2014, FRIM PCS telah diakreditasikan sebagai Badan Pensijilan Produk oleh STANDARDS MALAYSIA berdasarkan kepada MS ISO/IEC 17065: 2012 (Penilaian Pematuhan: keperluan untuk badan-badan yang mengesahkan produk, proses dan perkhidmatan),” tambah beliau.

FRIM PCS telah mengembangkan perkhidmatan pensijilan produk kepada produk perabot pasang siap dan rintangan api. Pada tahun ini, FRIM PCS menyasarkan lebih 60 syarikat perabot memperolehi pensijilan produk FRIM.Melalui pensijilan FRIM PCS, produk-produk yang dihasilkan mampu melonjakkan eksport perabot negara.

Turut hadir, Dato’ Mohd Zubir Embong, Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri Terengganu; Dato’ A. Rahman Yahya, Pegawai Kewangan Negeri; Dato’ Muhammad Pehemi Yusof, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Asas Tani, Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Negeri merangkap Pengerusi Kumpulan GPB; Dato’ Sri Mohd Amim A. Wahab dan Datuk Wira Rosli Mat Hassan, Ahli Institut FRIM; Hashim W. Samsi, Ketua Pasukan Teknikal FRIM PCS; dan Dato’ Ahmad Fadzil Abdul Majid, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

YouTube
Instagram