SEMINAR PERKONGSIAN HASIL KAJIAN GAS RUMAH HIJAU (GHG) FRIM DAN JEJAK KARBON PRODUK PERABOT (CFP)

29 Mei 2025 – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Bahagian Keluaran Hutan telah menganjurkan “Seminar Perkongsian Hasil Kajian Gas Rumah Hijau (GHG) FRIM Dan Jejak Karbon Produk Perabot (CFP)” bertempat di Auditorium FRIM.

Objektif utama seminar ini adalah untuk:

  1. Membincangkan kaedah pengukuran, pelaporan dan pengurangan GHG kampus FRIM, dan
  2. Memperkukuh jaringan kerjasama antara penyelidik, pihak industri dan pembuat dasar dalam usaha mencapai pembangunan yang lebih mampan.

Seminar ini telah dirasmikan oleh YBrs. Encik Mahmudin Bin Saleh, Timbalan Ketua Pengarah Operasi (TKPO) FRIM. TKPO turut menyampaikan sijil penghargaan kepada syarikat-syarikat yang telah menjalinkan kerjasama dalam melaksanakan kajian (CFP) produk perabot. Syarikat-syarikat yang telah menerima penghargaan adalah Syarikat Impressive Transform Sdn. Bhd., K.U.S Industries Sdn. Bhd., Mah Sing Plastic Industries Sdn. Bhd., Apex Office Furniture Exporter Sdn. Bhd. dan Meranti Marshal Sdn. Bhd. Bersempena seminar ini, TKPO turut merasmikan Galeri Perabot Hijau FRIM yang menjadi pusat setempat bagi mempamerkan perabot hijau yang lestari hasil R&D FRIM bersama industri. Seminar ini telah dihadiri oleh agensi seperti Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), industri, guru dan pelajar sekolah. Turut diadakan majlis penyampaian hadiah sempena Pertandingan Poster Digital yang telah diadakan bersempena Hari Bumi Sedunia yang telah berlangsung pada 10 April hingga 8 Mei 2025. Pertandingan dengan tema “Selamatkan Bumi Kita” ini telah disertai oleh pelajar sekolah rendah, menengah dan orang awam. Hadiah telah disampaikan oleh YBrs. Dr. Wan Tarmeze Bin Wan Ariffin, Pengarah Bahagian Keluaran Hutan. Sebanyak 1058 penyertaan telah diterima untuk semua kategori.

Tiga kertas kerja telah dibentangkan bersempena seminar ini iaitu:

  1. GHG Kampus FRIM & CFP Perabot – Ts Ghazali Talib (Climate Plus Sdn. Bhd.)
  2. Stok Karbon Hutan FRIM – Gs. Dr. Hamdan Omar (FRIM)
  3. Perdagangan Karbon – Mohamad Iskandar Majidi (Climate Plus Sdn. Bhd.)

Seminar berakhir dengan sesi soal jawab yang dikendalikan oleh Dr. Suffian Misran sebagai moderator bersama tiga pembentang kertas kerja. Penganjuran Seminar Perkongsian Hasil Kajian GHG dan Jejak Karbon Produk Perabot oleh FRIM telah berjaya mencapai objektifnya dalam meningkatkan kesedaran, perkongsian ilmu dan pengukuhan kerjasama antara penyelidik, industri dan agensi berkepentingan. Inisiatif seperti ini bukan sahaja menyokong agenda pembangunan mampan negara, malah memperkukuh peranan FRIM sebagai peneraju dalam penyelidikan berasaskan hutan yang menyumbang ke arah kelestarian alam sekitar. Diharapkan usaha berterusan ini dapat mendorong lebih banyak kolaborasi strategik dan inovasi dalam pengurangan jejak karbon serta pemuliharaan sumber asli negara.

Disediakan oleh: Noor Azrieda Binti Abd Rashid 

Tinggalkan Balasan