PENDEDAHAN TERHADAP KEPERLUAN PENSIJILAN FRIM-PCS DI EFE 2019

FRIM telah menyertai Pameran Perabot Eksport(EFE) 2019 yang ke-15 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, KLCC pada 9-12 Mac. Pameran dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kementerian Industri Utama, YB Datuk Seri Shamsul Iskandar bin Mohd Akin pada 9 Mac. Menterinya, YB Teresa Kok turut mengadakan kunjungan rasmi pada 11 Mac 2019.

Fokus utama FRIM dalam penyertaan pameran tersebut adalah untuk mendedahkan tentang kewujudan Perkhidmatan Pensijilan Produk FRIM(FRIM-PCS) kepada pengusaha, pedagang dan pengeksport perabot antarabangsa.FRIM turut menerangkan tentang perkhidmatan FRIM-PCS pada seminar Industri EFE yang berlangsung pada 11 Mac yang dihadiri seramai 30 pengunjung.
Turut menyertai FRIM dalam pameran ini ialah dua jenama syarikat tempatan yang berpengalaman dalam pasaran eksport serta akan menjalani pensijilan perabot, iaitu Ramaco (Ramaco Bena) dan LINEA (NOKTA). Produk yang dihasilkan adalah gabungan tiga syarikat pembuat iaitu NSF Manufacturing, One Tech dan Furnitech. Turut dipamerkan ialah tatacara pembangunan reka bentuk menepati standard yang dibangunkan Unit Reka Bentuk di bawah Program Pemerkasaan Pensijilan Produk.

Pameran oleh FRIM-PCS mendapat sambutan baik daripada pengusaha perabot antarabangsa dan pedagang yang berminat untuk mensijilkan produk perabot mereka. Melalui pensijilan, pedagang dan pengguna bertambah yakin dengan kualiti produk melalui pembuatan yang baik dan pengujian produk mengikut keperluan standard.

Untuk maklumat lanjut tentang FRIM-PCS, sila layari https://pcs.frim.gov.my atau e-mel ke pcs@frim.gov.my.

Gambar sekitar pameran Export Furniture Exhibition(EFE)

Tinggalkan Balasan