SEMINAR PINTU RINTANGA API 2021

13 Disember 2021 – Seramai 170 peserta dari agensi kerajaan, swasta, industri dan universiti telah menghadiri Webinar Pintu Rintangan Api 2021 FRIM pada 30 November lalu.

Webinar ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang langkah-langkah yang diperlukan bagi melindungi nyawa daripada kebakaran bangunan serta proses-proses yang terlibat untuk mendapatkan Pensijilan Produk Pintu Rintangan Api dan Sijil Pepasangan Keselamatan Kebakaran.

Program ini mengemukakan penjelasan yang terperinci dari sudut pengeluar, badan pensijilan, pengujian dan pihak yang berwajib berkenaan keperluan industri pintu rintangan api. Ia juga menyediakan platform bagi menjalinkan kerjasama lanjut dalam konteks penyelidikan dan teknikal dalam kalangan peserta. Isu-isu semasa yang dihadapi oleh pihak pengeluar pintu rintangan api turut diulas dalam sesi webinar ini.

Program anjuran bersama Bahagian Keluaran Hutan FRIM dan Perkhidmatan Pensijilan Produk FRIM (FRIM PCS) dirasmikan oleh Dr Ismail Parlan, Ketua Pengarah FRIM secara rakaman video. Ismail turut memperkenalkan penerbitan buku FRIM yang bertajuk, ‘FIRE-RATED TIMBER DOOR FRAME – PRODUCTION & REQUIREMENT’.

Dr Mohamad Omar Mohamad Khaidzir, Pengarah Bahagian Keluaran Hutan menyampaikan ucapan alu-aluan, manakala sesi pembentangan yang dikendalikan oleh Dr Sharmiza Adnan, Pengarah Urusan FRIM PCS sebagai moderator.

Pembentangan yang disampaikan:

Industri Pintu Rintangan Api: Status, Isu Dan Cabaran –George Yap Hong Thien, MWMJC-Malaysian Wood Moulding & Joinery Council;

Perakuan Set Pintu Rintangan Api – PgKB II Jasni Ali, Pusat Penyelidikan Kebombaan (PUSPEK), Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia (Fire & Rescue Department of Malaysia);

Perkhidmatan Pensijilan Produk Pintu Rintangan Api – Nor Haliyan Tan Shilan, FRIM; dan

Makmal Perlindungan Api FRIM ISO/IEC 17025:2017 Makmal Akreditasi dan Kelebihan untuk Industri – Khairul Azmi Jabar, FRIM

Untuk menonton rakaman webinar ini, klik pada: www.facebook.com/FRIMKepong/videos/459987845469275/

Tinggalkan Balasan