Perkhidmatan Pensijilan Produk FRIM (FRIM PCS)

Lanjutan daripada isu permasalahan kualiti perabot yang dibekalkan kepada kerajaan bagi Kontrak Pusat Sistem Panel (KPSP) terutama yang melibatkan kerusi meja murid sekolah oleh Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), FRIM telah mengambil inisiatif untuk menubuhkan Perkhidmatan Pensijilan Produk FRIM atau lebih dikenali sebagai FRIM PCS pada bulan Jun 2013.  Penubuhan FRIM PCS adalah bertujuan untuk mewujudkan satu badan yang bertanggungjawab bagi memastikan kualiti produk terutanya perabot yang dikeluarkan pengusaha memenuhi keperluan sesuatu standard dan spesifikasi produk yang ditetapkan secara konsisten. Penubuhannya telah mendapat maklum balas positif daripada lain-lain pemegang taruh seperti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pertahanan Malaysia (KEMENTAH), Kementerian Dalam Negeri Malaysia (KDN), Kementerian Kewangan (MOF), agensi-agensi lain dan persatuan perabot melalui program-program dialog yang telah diadakan pada tahun 2013, 2014 dan 2015.

Majlis Pelancaran dan Forum PCS bersama MARA, MOF, MTIB dan MATRADE pada 2015

Pada 18 November 2014, penubuhan FRIM PCS telah diluluskan melalui kuasa khas Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar sebagai tambahan kepada Akta 319 (1985) Lembaga Penyelidikan dan Pembangunan Perhutanan Malaysia pada ketika itu. Tanggal 12 Disember 2014,  FRIM telah berjaya diakreditasi sebagai Badan Pensijilan Produk yang kelapan di Malaysia berdasarkan kepada keperluan ISO/IEC 17065:2012 (Conformity Assessment – Requirements for Bodies Certifying Products, Processes and Services) daripada Jabatan Standard Malaysia. Peranan FRIM PCS dilihat mampu membantu industri tempatan bersaing secara sihat untuk menghasilkan produk berkualiti bagi menguasai pasaran tempatan serta melepasi halangan perdagangan antarabangsa. Seterusnya, pewartaan Akta FRIM 782 pada 2016 telah membenarkan FRIM untuk mengkomersialkan penemuan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta memberikan penanda aras baharu kepada produk-produk hasil hutan melalui proses pensijilan produk. Akta ini membolehkan FRIM memainkan peranan yang lebih luas sebagai badan pensijilan produk berasaskan perhutanan dan keluaran hutan serta memperkasakan industri yang berkaitan.


Taklimat FRIM Sebagai Badan Pensijilan Produk Perabot pada 2013 bersama pengusaha serta wakil MOF, KPM, KDN dan MINDEF

Kesemua syarikat yang terlibat dalam Skim Pensijilan Produk akan diaudit secara berkala dan sampel produk akan diambil untuk pengujian semasa audit penilaian pada tahun pertama. Proses pengauditan adalah bertujuan bagi memastikan kualiti produk yang dihasilkan adalah konsisten serta status syarikat sebagai pembuat dan pengeluar perabot adalah tulen. Melalui pensijilan produk peningkatan tahap keupayaan syarikat dalam mengeluarkan produk berkualiti juga dapat dipantau dan dibuat penambahbaikan dari semasa ke semasa. Keutamaan pensijilan produk terletak pada keselamatan, kestabilan, ketahanan dan kekuatan seperti yang ditetapkan oleh standard dan keperluan pelanggan.

Majlis Peganugerahan Sijil Produk FRIM PCS kepada syarikat Perintis pada 2014

Pada peringkat permulaan, fokus utama pensijilan produk FRIM PCS adalah kepada perabot berasaskan kayu yang dibekalkan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) khususnya perabot murid sekolah.  Sehingga 2017, sebanyak 18 pengusaha perabot tempatan telah berjaya memperolehi pensijilan produk FRIM PCS bagi 47 jenis produk perabot di bawah KPM. Kini, FRIM PCS telah bersedia untuk mempersijilkan kesemua produk perabot di bawah kontrak panel kerajaan yang melibatkan 24 kementerian dan produk perabot pasang siap di bawah projek pembangunan kerajaan. Tidak terhad kepada produk perabot di bawah perolehan kerajaan, FRIM PCS juga memperluaskan skop  perabot untuk pasaran terbuka, eksport dan import.

Proses audit dilaksanakan di kilang oleh juruaudit PCS

Kemampuan FRIM PCS dalam memastikan kualiti produk perabot negara terjamin dapat meningkatkan lagi kepercayaan pengguna dari dalam dan luar negara. Perkembangan yang sihat dalam industri perabot dalam menghasilkan kualiti produk yang terbaik akan melonjakkan sumbangan  eksport industri ini daripada RM9.53 bilion pada 2016 kepada RM15 bilion untuk tempoh 5 tahun. FRIM PCS mensasarkan 60 syarikat akan dipersijilkan pada tahun 2018-2019 bagi pelbagai jenis produk perabot.

Sijil Akreditasi FRIM sebagai Badan Pensijilan Produk

FRIM PCS juga telah memulakan projek perintis bagi Skim Pensijilan Rintangan Api pada tahun ini. Dua syarikat perintis telah dipilih untuk dipersijilkan bagi produk pintu rintangan api. Skim pensijilan produk FRIM PCS ini juga akan diperkembangkan kepada skim pensijilan yang lain seperti  skim pensahihan bahan mentah herba, pengeluaran bahan tanaman, komponen struktur bangunan dan kualiti kertas pada masa akan datang.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

YouTube
Instagram